Raja Bahrin, Ahmad Amzad Bertelagah Isu legasi Nik Aziz

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim pada 14 April lalu membayangkan bekas pemimpin PAS yang kini memegang jawatan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah sebagai seorang pembohong.

Ia berikutan dakwaan Raja Bahrin dalam satu artikel yang disiarkan portal berita pro-Pakatan Harapan pada 12 April 2017 kononnya ada usaha oleh PAS untuk memadamkan legasi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Justifikasi Raja Bahrin dalam membuat dakwaan itu, beliau pernah ditegur oleh Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Wan Sukairi Abdullah gara-gara menulis tentang sumbangan dan jasa Nik Abdul Aziz seminggu selepas kematian Mursyidul AM PAS itu.
“Wan Shukhairi bertanya kenapa saya menulis suatu artikel dalam facebook saya “Mengimbas Sumbangan dan Jasa Nik Aziz?” Saya terdiam sebeberapa ketika kerana hairan serta tergamam.
“Penulisan saya tersebut seolah-olah satu kesalahan walaupun ia adalah pengabdian serta penghormatan saya kepada Tok Guru yang saya kagumi dan hormati,” dakwa Raja Bahrin dalam artikel pada 12 April 2017 tersebut.
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim kemudian menjelaskan Raja Bahrin ditegur oleh Wan Shukhairi kerana penulisannya dilihat mengikut rentak aliran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan memanjangkan fitnah Kerajaan Perpaduan (UG).
“Saya punya locus standi untuk menegakkan kebenaran ini kerana saya yang mengaturkan pertemuan. Dan rumah itu rumah saya. Dan pertemuan itu adalah antara tiga orang iaitulah Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Raja Bahrin dan saya sendiri selaku Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu. Arwah isteri saya ada sekejap sekadar menghidang kuih dan nescafe.
“Puncanya kerana telah kecoh di peringkat akar umbi yang marahkan Raja Bahrin yang dilihat ‘mengikut’ rentak aliran Pasma ketika itu. Raja Bahrin menulis dan memanjangkan fitnah UG,” kata Ahmad Amzad.
Raja Bahrin dalam kenyataan balas hari ini pula membidas Ahmad Amzad dengan mendakwa penjelasan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat itu tidak munasabah dengan mempersoalkan jika benar ia satu kesalahan, mengapa perkara yang serius seperti itu tidak dibawa ke Mesyuarat PAS Kawasan Kuala Terengganu pada waktu itu.
“Kalau benar “kesalahan” saya terbukti, kenapa tidak ada majlis yang sepatutnya di buat melalui mesyuarat rasmi? Isu utama yang di timbulkan adalah tentang penulisan saya berkaitan “Legasi Nik Aziz” dan mereka tidak mahu ahli-ahli mesyuarat lain mengetahui teguran ini dibuat,” kata Raja Bahrin. – MYNEWSHUB.CC



Comments